26.6.08
Harga beras 8 jenama diturunkan...lega sikit.
Aku turut menarik nafas lega apabila NTUC FairPrice mengurangkan harga beberapa jenama beras.
Langkah ini memang dinantikan orang ramai. Beras sebagai makan seharian tentu sekali ia menjadi keperluan asas. Walaupun perbezaannya agak sederhana, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan pembelanjaan harian keluargaku.
Aku cuba bayangkan sekiranya harga beras terus melonjak naik dan tidak dapat diturunkan semula. Apakah makanan alternatif bagi beras? Adakah mi? Mungkin roti? Atau mungkinkah kita akan sampai ke tahap makan ubi kayu?
*********************************************
ORANG ramai boleh menarik nafas lega sedikit ekoran langkah pasar raya NTUC FairPrice menurunkan harga beras lapan jenamanya sendiri mulai hari ini.
Di bawah langkah itu, yang sememangnya dinanti-nanti di tengahtengah harga barang dan makanan terus meningkat, harga beras lapan jenama itu dikurangkan antara 5 peratus dengan 12 peratus.
Harga beras gred lebih rendah dikurangkan paling banyak.
Dalam satu kenyataan semalam, koperatif pergerakan buruh itu menyatakan bahawa pengurangan itu dibuat menjelang ketibaan bekalan baru beras yang didapatkan dengan kos lebih rendah.
Selain pengurangan harga beras, pelanggan pasar raya itu dapat juga menikmati potongan harga 5 peratus yang sedang ditawarkan bagi beras jenama pasar raya itu sendiri.
Mengulas mengenai langkah mengurangkan harga beras itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NTUC FairPrice, Encik Tan Kian Chew, berkata:
'Kami telah memantau dari dekat harga beras bagi memastikan kami mendapat bekalan beras pada harga paling baik.
'Disebabkan strategi pembelian kami yang dibuat secara berhatihati, kami berhasil mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah.
'Meskipun bekalan baru hanya akan tiba hujung bulan depan dan kami sedang menghabiskan stok beras yang telah dibeli pada harga lebih tinggi, NTUC FairPrice tetap memenuhi komitmennya menjadi pihak terakhir menaikkan harga dan yang pertama menurunkan harga.'
-dipetik dari http://cyberita.asia1.com.sg/ 20hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
1:59 PG
(0) meninggalkan sentuhan
* * *
24.6.08
'Harga Makanan Naik...' Bila agak-agaknya turun?
Semuanya naik! Itulah yang sering menjadi buah mulut orang akhir-akhir ini.
Kalau harga minyak naik, mereka yang mempunyai kenderaan peribadi akan rasa tekanannya. Yang menaiki pengangkutan awam tidak begitu merasakan kenaikannya. Namun, kalau komoditi keperluan asas pula yang mengalami kenaikan harga, pasti semua orang akan rasa tekanan pada kocek masing-masing.
Kalau dahulu semasa penularan SARS, harga telur dan ayam naik berganda-ganda seperti harga telur yang sebelumnya $1.60 menjadi $4.60. Pada waktu itu, ada orang yang kurangkan makan telur dan ayam. Saya pula telah elakkan makan telur dan ayam pada waktu itu kerana harga yang mahal serta sebagai langkah berjaga-jaga daripada terkena jangkitan demam burung.
Bagaimana pula keadaannya keluarga-keluarga yang kurang kemampuan. Kenaikan harga makanan tentu sekali akan menjejas mereka. Barangan keperluan mungkin akan dianggap seperti satu kemewahan.
Saya rasa inilah masanya untuk kita mengajar anak-anak kita kepentingan berjimat cermat dan kurangkan pembaziran. Saya selalu mengingatkan anak sulung saya agar mengambil makanan dengan sedikit. Jika kurang boleh ditambah tetapi jika terlebih alamatnya masuk tong sampah.
Saya mempunyai 3 orang anak-anak yang masih kecil, susu merupakan antara komoditi yang terpenting dalam keluarga. Anak-anak saya yang berumur 2 hingga 3 tahun minum susu yang sama. Jadi, dalam masa seminggu, mereka akan minum lebih kurang 3 kotak susu. 1 kotak saja harganya hampir $10. Kalau 3 kotak kali dengan 4 minggu? Yang ada anak-anak tentu faham apa yang saya maksudkan.
Suami saya pula tidak boleh hidup tanpa nasi. Setiap hari, nasi menjadi makanan yang terpenting baginya. Hanya nasi yang dapat mengenyangkannya. Kalau dia makan roti berkeping-keping pun kenyangnya tidak sama dengan makan nasi sepinggan. :o) Nasi juga akan dicarinya.
Adakah cara untuk kita kurangkan duit yang dibelanjakan untuk membeli semua barangan asas? Kalau sayur, mungkin boleh tanam sendiri di pasu-pasu yang diletakkan di koridor rumah tetapi jangan pula jadi penternak nyamuk Aedes. Kalau susu, mungkin saya perlu ternak lembu ataupun cari ibu susuan. Hehe.
Bagaimana pula keadaannya keluarga-keluarga yang kurang kemampuan. Kenaikan harga makanan tentu sekali akan menjejas mereka. Barangan keperluan mungkin akan dianggap sebagai satu kemewahan. Teringat masa dulu zaman kanak-kanak, makanan yang menjadi kegemaran ialah nasi dengan ikan masin dan kuah bayam.
*******************************
Jabatan Statistik: Inflasi kekal seperti kadar April sebanyak 7.5%
OlehNorhaiza Hashim
WALAUPUN kadar inflasi di Singapura bulan lalu kekal seperti kadar April, iaitu 7.5 peratus, harga makanan telah menjulang tinggi bulan lalu.
Perangkaan terbaru Jabatan Statistik Singapura (DOS) semalam menunjukkan harga makanan meningkat sebanyak 9 peratus disebabkan kenaikan harga beras, susu, sayur-sayuran, minyak makan dan makanan ternakan.
Pada April lalu, harga makanan naik sebanyak 8.5 peratus. Indeks Harga Pengguna (CPI), yang mencecah 7.5 peratus bulan lalu, adalah lebih rendah daripada ramalan kenaikan sebanyak 7.7 peratus oleh para pakar ekonomi yang ditinjau Dow Jones Newswires.
Ini pertama kali CPI tidak meningkat sejak September tahun lalu. Tinjauan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melibatkan 21 pakar ekonomi menunjukkan kadar inflasi dijangka mencapai purata 6 peratus tahun ini.
'Berbanding Mei tahun lalu, CPI pada bulan lalu meningkat sebanyak 7.5 peratus disebabkan oleh kos makanan, pengangkutan dan komunikasi, serta perumahan lebih tinggi,' menurut kenyataan DOS.
Harga makanan, yang membentuk 23 peratus, dan komponen terbesar, CPI, meningkat 9 peratus sejajar dengan kenaikan harga komoditi seperti minyak, beras, jagung dan kacang soya, yang mencapai paras tertinggi di peringkat sejagat tahun ini.
Kos pengangkutan dan komunikasi, yang membentuk 22 peratus, iaitu komponen kedua terbesar, CPI, juga meningkat, sebanyak 6 peratus, disebabkan harga minyak petrol, tambang teksi dan harga kereta lebih tinggi.
Kos perumahan, komponen ketiga terbesar CPI, pula naik sebanyak 12.4 peratus bulan lalu, berbanding kenaikan sebanyak 11.8 peratus pada April lalu.
Pakar Ekonomi HSBC, Encik Robert Prior-Wandersforde, berkata persoalan ketika ini ialah adakah kadar inflasi sudah mencecah paras tertinggi pada 7.5 peratus.
'Untuk mencapai paras tertinggi ramalan kadar inflasi pemerintah sebanyak 5-6 peratus tahun ini memerlukan CPI (yang sudah mengambil kira faktor musiman) mencecah kenaikan hanya 0.06 peratus setiap bulan dari Jun hingga Disember.
'Ini tidak mungkin berlaku kecuali harga komoditi susut,' kata beliau.
Walaupun terdapat harapan inflasi akan susut pada separuh kedua tahun ini, Naib Presiden (Ekonomi Asia Pasifik dan Analisis Pasaran) Citibank, Encik Kit Wei Zheng, berkata ramalan itu belum pasti disebabkan kemungkinan harga minyak mentah naik. Kenaikan kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) baru-baru ini juga mungkin menyebabkan kadar inflasi bulan depan naik, tambah beliau.
'Kadar inflasi dijangka mencecah paras tertinggi sekitar 8 peratus pada Jun sebelum reda mencapai 6 peratus pada Julai apabila kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dirasakan, berakhir dengan kadar inflasi sebanyak 4 peratus akhir tahun ini,' ujar Encik Kit.
- dipetik dari http://cyberita.asia1.com.sg/ 24hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
1:07 PG
(0) meninggalkan sentuhan
* * *
23.6.08
Kenaikan ERP untuk Kurangi Kesesakan Trafik???
Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) atau sekarang juga dikenali sebagai 'Every Road Pays' telah dinaikkan.
Kenaikan ERP dapat mengurangi kesesakan jalan raya tetapi adakah ia benar-benar berkesan? Langkah ini diambil setelah cukai jalan raya dikurangkan. Namun, ramai pemilik kenderaan peribadi yang mengeluh kerana perlu membayar ERP yang ditinggi dan ditambah pula dengan harga petrol yang turut meningkat.
Adakah ia juga akan dapat mengubah sikap pemandu agar memilih untuk menggunakan pengangkutan awam. Namun, orang seperti suamiku akan tetap memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri kerana lebih mudah dan tidak perlu berasak-asak dalam MRT ataupun bas.
Aku pula tidak berapa kisah. Padaku naik pengangkutan awam mahupun kereta ada baik buruknya. Jika naik pengangkutan awam harus berasak-asak dan tidak dapat tempat duduk tetapi naik kereta pula selesa tetapi tetap boleh lambat kerana kesesakan lalu lintas. Lagipun, lesenku masih ada 'kuih lopes'. Tambahan pula, aku ni belum mahir dalam selok-belok setiap jalan raya. Kalau pemandu lain ambil masa 30 minit untuk sampai ke sebuah destinasi, aku mungkin 2 jam. Maklumlah, sesat. Haha.
***********************************
KENAIKAN Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan bukan menambah pendapatan pemerintah atau membebankan rakyat, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Encik Lim Swee Say.
Kenaikan ERP akan menambah hanya $70 juta setahun kepada pendapatan pemerintah, tetapi pemerintah kehilangan pendapatan sebanyak $110 juta setelah cukai jalan raya bagi semua kenderaan dikurangkan 15 peratus mulai 1 Julai lalu.
'Di samping itu, Yuran Pentadbiran Tambahan (ARF) telah dikurangkan daripada 110 peratus kepada 100 peratus Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kereta, teksi serta kenderaan barangan dan penumpang.
'Kelonggaran itu bermakna kos bagi pemerintah mencapai $200 juta dolar,' ujar Encik Lim lagi.
Beliau berkata demikian semalam dalam sesi dialog sempena lawatannya ke Sengkang West, sebahagian kawasan undi GRC Ang Mo Kio. Seorang penduduk berkata orang ramai kini dibebani inflasi tinggi dan beliau bertanya mengapa pemerintah menambah beban itu dengan menaikan kadar ERP.
Menurut Encik Lim, kenaikan ERP ialah bagi menangani kesesakan lalu lintas.
'ERP bukan bertujuan menambah beban rakyat, bukan bertujuan menambah kos atau meraih pendapatan tambahan. Malah, Menteri Pengangkutan, Encik Raymond Lim, juga berkata kenaikan ERP tidak membawa kepada pendapatan tambahan.
'MOF (Kementerian Kewangan) menganggarkan bahawa kenaikan ERP itu akan menambah pendapatan pemerintah hanya sebanyak $70 juta setahun. Namun, akibat pengurangan cukai jalan raya, kos bagi pemerintah berjumlah $110 juta,' ujarnya.
Beliau juga berkata kenaikan ERP itu sebenarnya bertujuan mengubah sikap pemandu supaya mereka dapat menggunakan pengangkutan awam.
-dipetik dari http://cyberita.asia1.com.sg/ 23hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
1:42 PG
(0) meninggalkan sentuhan
* * *
21.6.08
Daftar bagi darjah 1 bermula 30 Jun. Sekolah mana?
Hai... akhir bulan ini sibuklah ibu bapa mendaftar anak-anak mereka yang akan masuk ke darjah satu pada tahun hadapan.Aku juga tidak terkecuali. Semenjak akhir tahun lepas aku sudah fikirkan sekolah mana yang sesuai dengan anakku. Walaupun anakku dengan mudah akan dapat memasuki sekolah yang sama denganku tetapi aku tidak mahu dia ada di sekolah yang sama denganku. Orang kata lebih mudah tetapi bagiku tidak. Kenapa?Pada pendapatku, tugasku sebagai seorang guru akan bertambah berat kerana aku juga harus menjadi ibu kepada anakku di sekolah. (Walaupun kadang-kadang dengan murid-murid yang lain aku pun harus mainkan peranan ibu... atau lebih tepat lagi ibu tiri yang kuat berleter...hehe) Bahkan bukan itu sahaja, aku juga tidak mahu teman-teman sekerjaku berasa tertekan kerana tidak tahu macam mana untuk menegur atau memarahi anakku yang nakal. Mereka mungkin akan beri muka supaya aku tidak tersinggung. Pada hakikatnya, aku tidak kisah jika anakku dimarah atau ditegur asalkan setimpal dengan kesalahannya. Ada seorang temanku dari sekolah yang pernah tidak bertegur sapa dengan rakan sekerjanya kerana si ibu yang juga guru tersinggung apabila anaknya yang tidak membuat kerja rumah ditegur oleh temanku. Aku tidak suka apabila hal peribadi kemudian tercampur aduk dengan hal kerja. Sungguh menyulitkan.Itu pendapat bagi pihakku. Kalau pihak anakku pula, aku rasa tentu dia akan rasa tidak selesa sekiranya setiap kali dia di sekolah, dia akan berada di dalam pengawasan ibunya. Tak cukup ibu membebel di rumah... di sekolah pun ibu membebel. Aku hendak anakku berdikari. Dia anak lelaki. Jadi biarkan dia rasa kesukaran mula-mula masuk sekolah dan bina keyakinan dirinya sendiri. Lagipun, pada pandanganku, aku hendak dia rasa seperti kanak-kanak lain. Semua yang dilakukan di sekolah tidak ada bantuan ibu ayah. Kalau terlalu diawasi semasa sekolah rendah, besar kemungkinan dia akan memberontak jika di sekolah menengah.Aku juga mendapat tahu bagaiman anak seorang teman sekerja yang seakan-akan memberontak dan terlepas dari kandang apabila masuk di sekolah menengah. Apabila aku membaca blognya, aku dapati di ingin mencuba pelbagai benda seperti merokok. Memang jiwa remaja sentiasa bergelodak dan ingin mencuba. Tetapi adakah dia akan berkelakuan sedemikian sekiranya dia tidak terkongkong semenjak darjah 1? Aku pun tidak dapat menjawab soalan itu kerana yang pasti sebagai seorang ibu aku ingin sekolah yang terbaik bagi anakku dan belajar berdikari. Pada masa yang sama juga, aku tidak mahu pembantuku sukar menghantar anakku kerana dia hrus menjaga lagi dua orang anakku yang masih kecil.Maka, pilihanku merupakan sekolah yang terdekat dengan rumahku. Mana-mana sekolah tidak banyak bezanya. Semua sekolah ada program-programnya tersendiri tetapi yang membezakan ialah diri muridnya. Jika murid itu malas, maka program itu tidak memanfaatkannya tetapi jika murid tersebut aktif, program yang ada akan membantunya.*******************************
PENDAFTARAN bagi kemasukan ke darjah satu tahun depan akan bermula 30 Jun ini dan berlangsung sehingga 28 Ogos.
Semasa tempoh itu, semua sekolah rendah dan sekolah penuh, iaitu yang menawarkan pendidikan peringkat rendah dan menengah, akan dibuka untuk pendaftaran dari 8 hingga 11 pagi dan dari 2.30 hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Jumaat.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2002 dengan 1 Januari 2003 perlu didaftarkan untuk memasuki darjah satu Januari depan.
Kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2000 dengan 1 Januari 2002 dan belum didaftarkan sebelum ini juga boleh didaftarkan.
Jika seseorang kanak-kanak itu dinilai belum bersedia atau tidak sesuai bagi darjah satu atas sebab-sebab perubatan, ibu bapa boleh mendapatkan kebenaran daripada Unit Pendidikan
Wajib untuk melewatkan pendaftaran.
Di bawah Akta Pendidikan Wajib, warga Singapura yang dilahirkan selepas 1 Januari 1996 dan menetap di sini wajib menghadiri sekolah rendah nasional secara tetap.
MOE turut mengingatkan bahawa setiap kanak-kanak harus didaftarkan hanya di sebuah sekolah sahaja dan jika tidak, dia 'mungkin kehilangan tempat di sekolah pilihannya'.
Buku maklumat tentang proses pendaftaran darjah satu itu telah diedarkan ke tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak.
Sebarang pertanyaan mengenai Pendidikan Wajib boleh diajukan ke Unit Pendidikan Wajib MOE di moe_ce@moe.edu.sg atau ke faks nombor 6778-9356.
- dipetik dari http://cyberita.asia1.com.sg/ 20hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
2:03 PG
(0) meninggalkan sentuhan
* * *