4.7.08
Bahasa Inggeris atau Bahasa Ibunda?
Bahasa Inggeris bahasa yang diutamakan di Singapura. Bahasa ibunda dijadikan bahasa kedua. Oleh kerana bahasa ibunda kita dijadikan bahasa kedua, ramai ibu bapa yang amat prihatin dengan kemahiran anak mereka berbahasa Inggeris. Pilihan yang mereka ambil merupakan menggunakan bahasa Inggeris di rumah dan mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahasa Melayu.
Apabila ia berlaku, maka anak-anak mereka mahir dalam hampir semua mata pelajaran kecuali bahasa Melayu. Situasi ini bukan hanya dilihat dalam masyarakat Melayu. Ia juga berlaku dalam masyarakat India dan Cina.
Aku pernah dengar keluhan rakan-rakan sekerja yang mengajar bahasa ibunda lain yang risau dengan kemahiran murid-murid mereka berbahasa ibunda. Aku juga turut menghadapinya.
Aku rasa ibu bapa yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah boleh dibahagikan kepada 2 golongan. Golongan pertama adalah mereka yang anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris tetapi bukan Melayu. Golongan kedua pula adalah mereka yang mempunyai anak-anak yang tidak mahir dalam kedua-dua bahasa.
Anak-anak dari golongan pertama lebih mudah dibantu kerana mereka perlukan banyak alih bahasa sehinggakan struktur ayat bahasa Melayu mereka dipengaruhi struktur bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya mereka mungkin lulus dengan cemerlang dalam bahasa Inggeris dan tidak kurang dengan Matematik atau Sains kerana mereka memahami soalan-soalan yang kesemuanya dalam bahasa Inggeris.
Bagaimana pula keadaannya mereka yang tidak berjaya menguasai kedua-dua bahasa? Mengapa jadi begitu? Ini hanya pendapatku sahaja. Mungkin ibu bapa mereka menggunakan kedua-dua bahasa tetapi tidak menggunakan struktur bahasa yang betul. Anak-anak mereka hanya didedahkan pada bahasa Inggeris (lebih pada Singlish) dan bahasa Melayu rojak. Kedua-duanya dicampur aduk.
Oleh kerana tiada yang membetulkan penggunaan bahasa yang salah maka, kanak-kanak ini besar kemungkinan agak lemah dalam hampir kesemua mata pelajaran. Mereka mungkin memerlukan lebih banyak bantuan kerana mereka tidak mahir dalam kedua-dua bahasa.
Guru-guru pula yang diberikan kepercayaan untuk membantu mereka. Namun, aku turut rasa bahasa ibu bapa memainkan peranan yang lebih besar kerana kanak-kanak belajar daripada meniru. Bahasa yang digunakan ibu bapa turut digunakan mereka. Jika bahasa itu elok, maka eloklah anak-anak mereka berbahasa. Jika bahasa itu dipenuhi perkataan lucah dan maki hamun, itu juga yang akan keluar dari mulut anak-anak mereka.
Apa yang saya ingin katakan sebenarnya, kita juga sebagai ibu bapa harus sedar dan sentiasa membaiki penggunaan bahasa kita juga. Kemahiran anak-anak kita berbahasa bermula dari kita. Jika kita gunakan yang salah, anak-anak kita mengikutinya. Jika mereka gunakan yang salah, kita lah yang harus membaikinya.
Artikel di bawah ini mengingatkan aku bahawa bahasa Melayu akan hilang jika generasi akan datang tidak mahu menggunakan atau mempelajarinya. Kalau ia berlaku, kita juga yang rugi. **********************************
'USAH BIAR ANAK PELAT BERBAHASA MELAYU'
APABILA Nenek ke majlis jemputan kahwin Ahad lalu, Nenek rasa begitu terhibur dengan persembahan yang diadakan.
Ada silat... ada tarian Melayu. Yang menariknya, semuanya dipersembahkan oleh kanak-kanak.
Kanak-kanak itu pula, Nenek dapat tahu, adalah anak-anak buah emak dan bapak pengantin.
Nenek cukup terhibur melihat telatah kanak-kanak itu membuat persembahan.
Tahniah kepada ibu bapa pengantin atau saudara-mara yang dapat mengumpulkan anak buah mereka itu dan melatih mereka dengan persembahan yang baik.
Ini, bagi Nenek, adalah satu cara yang bukan saja dapat merapatkan hubungan antara keluarga, malah secara tidak langsung menggalakkan lagi rasa cinta terhadap budaya Melayu.
Memang usaha menanam kecintaan terhadap budaya sendiri ini perlu dilakukan sejak kecil lagi kerana minat sedemikian akan membesar dengan subur dalam diri anak-anak kita.
Apatah lagi majlis kahwinnya diadakan dalam Bulan Bahasa 2008. Apa yang dilakukan oleh keluarga ini memang sangat baik. Tahniah.
Oleh kerana sudah timbulkan soal budaya dan bahasa ini, Nenek rasa sempena Bulan Bahasa ini, marilah kita sebagai datuk, nenek, ibu dan bapa serta guru-guru berusaha menggalakkan anak-anak kita termasuk yang masih setahun jagung tu, bertutur bahasa Melayu yang baik.
Nenek lihat ramai ibu bapa dan datuk nenek sekarang lebih selesa berbahasa Inggeris dengan cucu dan anak mereka sehinggakan si kecil tak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Ingatlah bahawa bahasa Melayu tu bahasa ibunda.
Malu kalau anak-anak tidak tahu berbahasa ibunda. Apabila anak-anak itu sudah bersekolah, kelam-kabut ibu bapa carikan anak-anak mereka tuisyen... bukan matematik atau bahasa Inggeris, tetapi tuisyen bahasa Melayu!
Seorang sahabat Nenek yang mempunyai tiga cucu ketika kami bersembang-sembang, bercerita bagaimana dua daripada tiga cucunya itu terlalu pelat apabila bertutur bahasa Melayu.
'Si Yani yang berumur lima tahun tu nak beritahu aku beg dia ada di bawah meja.
'Dia kata gini: Nek, meja bawah beg. Dia nak minta aku minuman, dia kata gini pula: Air mintak minum,' kata kawan Nenek tu sambil ketawa.
Hai... apa dah jadi? Ini bahaya... tak boleh dibiarkan. Ibu bapa dan datuk nenek perlu bertindak dari sekarang kerana dari rumahlah, mereka belajar bertutur yang betul agar tidak jadi Melayu pelat apabila dewasa nanti!
Nenek
-dipetik dari
http://cyberita.asia1.com.sg/
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
1:58 PG
* * *