24.6.08
'Harga Makanan Naik...' Bila agak-agaknya turun?
Semuanya naik! Itulah yang sering menjadi buah mulut orang akhir-akhir ini.
Kalau harga minyak naik, mereka yang mempunyai kenderaan peribadi akan rasa tekanannya. Yang menaiki pengangkutan awam tidak begitu merasakan kenaikannya. Namun, kalau komoditi keperluan asas pula yang mengalami kenaikan harga, pasti semua orang akan rasa tekanan pada kocek masing-masing.
Kalau dahulu semasa penularan SARS, harga telur dan ayam naik berganda-ganda seperti harga telur yang sebelumnya $1.60 menjadi $4.60. Pada waktu itu, ada orang yang kurangkan makan telur dan ayam. Saya pula telah elakkan makan telur dan ayam pada waktu itu kerana harga yang mahal serta sebagai langkah berjaga-jaga daripada terkena jangkitan demam burung.
Bagaimana pula keadaannya keluarga-keluarga yang kurang kemampuan. Kenaikan harga makanan tentu sekali akan menjejas mereka. Barangan keperluan mungkin akan dianggap seperti satu kemewahan.
Saya rasa inilah masanya untuk kita mengajar anak-anak kita kepentingan berjimat cermat dan kurangkan pembaziran. Saya selalu mengingatkan anak sulung saya agar mengambil makanan dengan sedikit. Jika kurang boleh ditambah tetapi jika terlebih alamatnya masuk tong sampah.
Saya mempunyai 3 orang anak-anak yang masih kecil, susu merupakan antara komoditi yang terpenting dalam keluarga. Anak-anak saya yang berumur 2 hingga 3 tahun minum susu yang sama. Jadi, dalam masa seminggu, mereka akan minum lebih kurang 3 kotak susu. 1 kotak saja harganya hampir $10. Kalau 3 kotak kali dengan 4 minggu? Yang ada anak-anak tentu faham apa yang saya maksudkan.
Suami saya pula tidak boleh hidup tanpa nasi. Setiap hari, nasi menjadi makanan yang terpenting baginya. Hanya nasi yang dapat mengenyangkannya. Kalau dia makan roti berkeping-keping pun kenyangnya tidak sama dengan makan nasi sepinggan. :o) Nasi juga akan dicarinya.
Adakah cara untuk kita kurangkan duit yang dibelanjakan untuk membeli semua barangan asas? Kalau sayur, mungkin boleh tanam sendiri di pasu-pasu yang diletakkan di koridor rumah tetapi jangan pula jadi penternak nyamuk Aedes. Kalau susu, mungkin saya perlu ternak lembu ataupun cari ibu susuan. Hehe.
Bagaimana pula keadaannya keluarga-keluarga yang kurang kemampuan. Kenaikan harga makanan tentu sekali akan menjejas mereka. Barangan keperluan mungkin akan dianggap sebagai satu kemewahan. Teringat masa dulu zaman kanak-kanak, makanan yang menjadi kegemaran ialah nasi dengan ikan masin dan kuah bayam.
*******************************
Jabatan Statistik: Inflasi kekal seperti kadar April sebanyak 7.5%
OlehNorhaiza Hashim
WALAUPUN kadar inflasi di Singapura bulan lalu kekal seperti kadar April, iaitu 7.5 peratus, harga makanan telah menjulang tinggi bulan lalu.
Perangkaan terbaru Jabatan Statistik Singapura (DOS) semalam menunjukkan harga makanan meningkat sebanyak 9 peratus disebabkan kenaikan harga beras, susu, sayur-sayuran, minyak makan dan makanan ternakan.
Pada April lalu, harga makanan naik sebanyak 8.5 peratus. Indeks Harga Pengguna (CPI), yang mencecah 7.5 peratus bulan lalu, adalah lebih rendah daripada ramalan kenaikan sebanyak 7.7 peratus oleh para pakar ekonomi yang ditinjau Dow Jones Newswires.
Ini pertama kali CPI tidak meningkat sejak September tahun lalu. Tinjauan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melibatkan 21 pakar ekonomi menunjukkan kadar inflasi dijangka mencapai purata 6 peratus tahun ini.
'Berbanding Mei tahun lalu, CPI pada bulan lalu meningkat sebanyak 7.5 peratus disebabkan oleh kos makanan, pengangkutan dan komunikasi, serta perumahan lebih tinggi,' menurut kenyataan DOS.
Harga makanan, yang membentuk 23 peratus, dan komponen terbesar, CPI, meningkat 9 peratus sejajar dengan kenaikan harga komoditi seperti minyak, beras, jagung dan kacang soya, yang mencapai paras tertinggi di peringkat sejagat tahun ini.
Kos pengangkutan dan komunikasi, yang membentuk 22 peratus, iaitu komponen kedua terbesar, CPI, juga meningkat, sebanyak 6 peratus, disebabkan harga minyak petrol, tambang teksi dan harga kereta lebih tinggi.
Kos perumahan, komponen ketiga terbesar CPI, pula naik sebanyak 12.4 peratus bulan lalu, berbanding kenaikan sebanyak 11.8 peratus pada April lalu.
Pakar Ekonomi HSBC, Encik Robert Prior-Wandersforde, berkata persoalan ketika ini ialah adakah kadar inflasi sudah mencecah paras tertinggi pada 7.5 peratus.
'Untuk mencapai paras tertinggi ramalan kadar inflasi pemerintah sebanyak 5-6 peratus tahun ini memerlukan CPI (yang sudah mengambil kira faktor musiman) mencecah kenaikan hanya 0.06 peratus setiap bulan dari Jun hingga Disember.
'Ini tidak mungkin berlaku kecuali harga komoditi susut,' kata beliau.
Walaupun terdapat harapan inflasi akan susut pada separuh kedua tahun ini, Naib Presiden (Ekonomi Asia Pasifik dan Analisis Pasaran) Citibank, Encik Kit Wei Zheng, berkata ramalan itu belum pasti disebabkan kemungkinan harga minyak mentah naik. Kenaikan kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) baru-baru ini juga mungkin menyebabkan kadar inflasi bulan depan naik, tambah beliau.
'Kadar inflasi dijangka mencecah paras tertinggi sekitar 8 peratus pada Jun sebelum reda mencapai 6 peratus pada Julai apabila kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dirasakan, berakhir dengan kadar inflasi sebanyak 4 peratus akhir tahun ini,' ujar Encik Kit.
- dipetik dari http://cyberita.asia1.com.sg/ 24hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
1:07 PG
* * *