22.7.08
Jalan-jalan cari makanan.. yang murah...
Dengan kenaikan harga minyak, semua harga makanan turut terjejas. Ialah bahan-bahan untuk dimasak perlu dibawa masuk dari Malaysia atau diterbangkan dari negeri-negeri lain. Semua pengangkutan tersebut memerlukan minyak. Jadi oleh kerana semua harga naik, nak beli makanan pun kena fikir beberapa kali. Kalau boleh yang murah. Tetapi ada kalanya yang murah tidak semestinya sedap. Ada orang yang sanggup bayar lebih sedikit agar dapat makanan yang sama tetapi lebih enak.Seperti artikel di bawah, kita masih mampu isi perut dengan $2. Tetapi kedai yang mungkin mengenakan bayaran seperti itu jauh. Kalau hendak beli harus menggunakan pengangkutan...dan kalau dah dicampur dengan tambang maka, makanan itu mungkin bukan lagi $2. Pada aku yang paling mudah untuk isi perut dengan $2 ialah 'double cheeseburger' MacDonald. Hehe. Tetapi kalau makan selalu tentu jelak. Aku sertakan artikel di bawah agar kita dapat mengagak harga makanan yang dijual di luar berbaloi atau terlalu mahal. Kedai kopi yang berdekatan dengan rumahku agak sederhana harganya. Roti prata 70c. Nasi campur yang dijual disitu juga padaku bersesuaian kerana nasi yang diberikan agak banyak. Selalunya aku dan seorang rakan akan beli nasi campur (2 lauk) dan nasi lebih sedikit. Harganya lebih kurang $3.50 (berdasarkan lauk). Nasi campur itu akan kami kongsi. Maklumlah, kawanku itu tidak makan banyak dan aku pula tidak mahu makan terlalu banyak. Jadi dengan berkongsi, murahlah sedikit. Makanan yang dijual di situ agak sedap dan pemilik kedainya pula ramah dan murah dengan senyuman. Jadi aku rasa, harga yang aku bayar untuk makanan yang sedap dan layanan yang ramah sungguh memuaskan. Aku bagi 4 1/2 bintang.*********************************
MASIH ADA PERATA 50CENTS, NASI BERIANI AYAM $2.30
Tinjauan Case dapati pengguna mampu isi perut dengan $2
OlehNadzri Eunos
MESKIPUN kadar inflasi kini tinggi, para pengguna masih lagi boleh menikmati sekeping roti perata dengan harga 50 sen dan nasi beriani ayam berharga $2.30 sepinggan.
Inilah antara hasil satu tinjauan rambang oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case) ke atas lima juadah lazim yang dijual di pusat makanan dan kedai kopi di serata pulau.
Lima juadah itu ialah roti perata, nasi beriani ayam, mi bebola ikan, nasi sayur campur dan nasi ayam (Cina).
Lebih menarik lagi, tinjauan itu mendapati secara amnya, para pengguna mampu mengisi perut dengan hanya $2.
Dapatan tinjauan tersebut diumumkan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Case di Ghim Moh, semalam.
Tinjauan selama dua minggu dari 21 Mei hingga 6 Jun itu melibatkan sekitar 20 pegawai Case dan para 'pembeli misteri'.
Harga jualan 395 juadah daripada 136 kedai kopi dan pusat makanan dari empat kawasan pulau - barat, timur, utara dan selatan - telah dicatat.
Tinjauan juga menunjukkan sekitar 60 peratus daripada gerai yang ditinjau menawarkan juadah pada harga $2.50 dan ke bawah.
Namun, tinjauan itu tidak mengambil kira mutu dan saiz setiap hidangan.
Naib presiden Case, Encik Lim Biow Chuan, menerangkan bahawa tinjauan itu dibuat menyusuli maklum balas pengguna mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat.
'Tujuan kami bukanlah untuk menjejaskan mana-mana peniaga tetapi untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai harga-harga juadah. Dengan maklumat ini, mereka boleh membuat pilihan,' jelas Encik Lim.
Dalam pada itu, beliau menarik perhatian kepada carian bahawa harga juadah yang ditinjau berbeza di antara kawasan.
Contohnya, sepinggan nasi beriani ayam di pusat makanan ABC di Brickworks berharga $2.30 manakala juadah yang sama dijual pada harga $5 di sebuah gerai di Bencoolen Street.
Ditanya mengenai sebab perkara itu berlaku, Presiden Persatuan Peniaga Singapura, Encik Chua Ser Keng, menjelaskan ia mungkin di sebabkan beberapa faktor seperti kadar sewa dan harga elektrik dan gas yang meningkat.
Persaingan turut menyumbang kepada perbezaan harga, katanya.
Case berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dan akan melakukan tinjauan yang lain sekiranya perlu.
Maklumat terperinci mengenai tinjauan boleh didapati di laman web
www.case.org.sg.
TINJAUAN RAMBANG HARGA MAKANAN
Lima juadah yang ditinjau:
1. Roti perata
2. Nasi beriani ayam
3. Nasi ayam (tidak halal)
4. Mi bebola ikan (tidak halal)
5. Nasi sayur campur (tidak halal)
Sebanyak 395 juadah daripada 136 kedai kopi dan pusat makanan di serata pulau ditinjau.
Harga adalah berdasarkan hidangan paling asas dan murah untuk seorang.
Hasil dapatan:
Sekitar 60 peratus atau sebanyak 240 juadah dijual pada harga $2.50 atau lebih rendah
Roti perata:
Termahal: 80 senTermurah: 50 senPeratus perbezaan: 37.5% Purata: 70 sen
Nasi beriani ayam:
Termahal: $5.00Termurah: $2.30Peratus perbezaan: 117.39%Purata: $4.00
Nasi ayam (tidak halal):
Termahal: $3.50Termurah: $1.30Peratus perbezaan: 207.69%Purata: $2.50
Mi bebola ikan (tidak halal):
Termahal: $3.50Termurah: $2.00Peratus perbezaan: 75%Purata: $2.50
Nasi sayur campur (tidak halal):
Termahal: $3.50 Termurah: $2.30Peratus perbezaan: 65.21%Purata: $2.50
SUMBER: CASE
-dipetik dari
http://cyberita.asia1.com.sg/ pada 28hb Jun 2008
tersulamnya kekata dari tinta mindaku...
2:25 PG
* * *