Aku sekadar menyulam kekata yang lahir dari tinta mindaku. Aku hanya menyulam kekata yang mengalir dari kolam hatiku.
Aku cuma menyulam kekata yang terbit dari pendaman perasaanku.
Sulaman kekata hanya untukku dan kamu yang ingin meneliti sulaman kekata ku. Aku terima kehadiranmu di sini.
Hadirmu ibarat benang yang menjadi sulamanku.
.::v517v::.
22.7.08
Jalan-jalan cari makanan.. yang murah...
Dengan kenaikan harga minyak, semua harga makanan turut terjejas. Ialah bahan-bahan untuk dimasak perlu dibawa masuk dari Malaysia atau diterbangkan dari negeri-negeri lain. Semua pengangkutan tersebut memerlukan minyak. Jadi oleh kerana semua harga naik, nak beli makanan pun kena fikir beberapa kali. Kalau boleh yang murah. Tetapi ada kalanya yang murah tidak semestinya sedap. Ada orang yang sanggup bayar lebih sedikit agar dapat makanan yang sama tetapi lebih enak. Seperti artikel di bawah, kita masih mampu isi perut dengan $2. Tetapi kedai yang mungkin mengenakan bayaran seperti itu jauh. Kalau hendak beli harus menggunakan pengangkutan...dan kalau dah dicampur dengan tambang maka, makanan itu mungkin bukan lagi $2. Pada aku yang paling mudah untuk isi perut dengan $2 ialah 'double cheeseburger' MacDonald. Hehe. Tetapi kalau makan selalu tentu jelak. Aku sertakan artikel di bawah agar kita dapat mengagak harga makanan yang dijual di luar berbaloi atau terlalu mahal. Kedai kopi yang berdekatan dengan rumahku agak sederhana harganya. Roti prata 70c. Nasi campur yang dijual disitu juga padaku bersesuaian kerana nasi yang diberikan agak banyak. Selalunya aku dan seorang rakan akan beli nasi campur (2 lauk) dan nasi lebih sedikit. Harganya lebih kurang $3.50 (berdasarkan lauk). Nasi campur itu akan kami kongsi. Maklumlah, kawanku itu tidak makan banyak dan aku pula tidak mahu makan terlalu banyak. Jadi dengan berkongsi, murahlah sedikit. Makanan yang dijual di situ agak sedap dan pemilik kedainya pula ramah dan murah dengan senyuman. Jadi aku rasa, harga yang aku bayar untuk makanan yang sedap dan layanan yang ramah sungguh memuaskan. Aku bagi 4 1/2 bintang.
*********************************
MASIH ADA PERATA 50CENTS, NASI BERIANI AYAM $2.30
Tinjauan Case dapati pengguna mampu isi perut dengan $2 OlehNadzri Eunos
MESKIPUN kadar inflasi kini tinggi, para pengguna masih lagi boleh menikmati sekeping roti perata dengan harga 50 sen dan nasi beriani ayam berharga $2.30 sepinggan.
Inilah antara hasil satu tinjauan rambang oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case) ke atas lima juadah lazim yang dijual di pusat makanan dan kedai kopi di serata pulau.
Lima juadah itu ialah roti perata, nasi beriani ayam, mi bebola ikan, nasi sayur campur dan nasi ayam (Cina).
Lebih menarik lagi, tinjauan itu mendapati secara amnya, para pengguna mampu mengisi perut dengan hanya $2.
Dapatan tinjauan tersebut diumumkan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Case di Ghim Moh, semalam.
Tinjauan selama dua minggu dari 21 Mei hingga 6 Jun itu melibatkan sekitar 20 pegawai Case dan para 'pembeli misteri'.
Harga jualan 395 juadah daripada 136 kedai kopi dan pusat makanan dari empat kawasan pulau - barat, timur, utara dan selatan - telah dicatat.
Tinjauan juga menunjukkan sekitar 60 peratus daripada gerai yang ditinjau menawarkan juadah pada harga $2.50 dan ke bawah.
Namun, tinjauan itu tidak mengambil kira mutu dan saiz setiap hidangan.
Naib presiden Case, Encik Lim Biow Chuan, menerangkan bahawa tinjauan itu dibuat menyusuli maklum balas pengguna mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat.
'Tujuan kami bukanlah untuk menjejaskan mana-mana peniaga tetapi untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai harga-harga juadah. Dengan maklumat ini, mereka boleh membuat pilihan,' jelas Encik Lim.
Dalam pada itu, beliau menarik perhatian kepada carian bahawa harga juadah yang ditinjau berbeza di antara kawasan.
Contohnya, sepinggan nasi beriani ayam di pusat makanan ABC di Brickworks berharga $2.30 manakala juadah yang sama dijual pada harga $5 di sebuah gerai di Bencoolen Street.
Ditanya mengenai sebab perkara itu berlaku, Presiden Persatuan Peniaga Singapura, Encik Chua Ser Keng, menjelaskan ia mungkin di sebabkan beberapa faktor seperti kadar sewa dan harga elektrik dan gas yang meningkat.
Persaingan turut menyumbang kepada perbezaan harga, katanya.
Case berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dan akan melakukan tinjauan yang lain sekiranya perlu.
Maklumat terperinci mengenai tinjauan boleh didapati di laman web www.case.org.sg.
TINJAUAN RAMBANG HARGA MAKANAN Lima juadah yang ditinjau: 1. Roti perata 2. Nasi beriani ayam 3. Nasi ayam (tidak halal) 4. Mi bebola ikan (tidak halal) 5. Nasi sayur campur (tidak halal)
Sebanyak 395 juadah daripada 136 kedai kopi dan pusat makanan di serata pulau ditinjau.
Harga adalah berdasarkan hidangan paling asas dan murah untuk seorang.
Hasil dapatan: Sekitar 60 peratus atau sebanyak 240 juadah dijual pada harga $2.50 atau lebih rendah
Kelmarin aku telah ke Marina dengan murid-murid darjah 5 untuk menonton Pertunjukan Pendidikan Nasional (NE Show). Aku sememangnya sudah lama hendak pergi tapi tidak berkesempatan kerana selalunya aku sedang bawa perut atau aku sedang kurang sihat.
Tahun ini apabila kesempatan itu muncul, akulah antara orang pertama yang dengan sukarela hendak ikut. Sebabnya? Aku tidak pernah dapat tonton Sambutan Hari Kebangsaan.
'Hema dengan abang-abang comel. Hehe'
Namun, pertunjukan itu bukan hanya menyeronokkan tetapi ia juga membangkitkan perasaan patriotikku. Pada mulanya aku hanya menikmati pertunjukkan payung terjun, kapal terbang 'Black Knight' dan pertunjukan air. Lagu-lagu yang dimainkan tidak ku hiraukan kecuali lagu 'Majulah Singapura'.
'Azna dan aku.'
Namun, hampir akhir pertunjukan, aku terasa perasaan lain menyelinap di hatiku. Hatiku terasa seakan-akan terharu dan bangga. Hujan yang membasahiku tidak menjadi hirau. Sebaliknya, aku turut bersorak dan bernyanyi-nyanyi dengan kuat. Pada mulanya aku sangka hanya aku saja yang begitu. Apabila aku lihat keliling, teman-temanku juga sama. Ada beberapa orang yang turut menari-nari sambil bertepuk tangan.
'Masih berseronok walaupun hujan masih turun. Makan ayam tu cepat-cepat nanti dah kena hujan jadi sup ayam pula.'
Aku rasa aku hendak menonton NE Show setiap tahun. :)
Pada hari ini, 21hb Julai, sekolah-sekolah meraikan Hari Keharmonian Kaum. Pada tarikh ini pada 1964 telah perlakunya sebuah rusuhan kaum di Singapura. Hari Keharmonian Kaum diadakan untuk mengingatkan para pelajar tentang betapa pentingnya perpaduan dan tolak-ansur antara agama dan bangsa yang berbeza. Dan apa yang akan berlaku sekiranya rakyat Singapura yang berbilang kaum dan agama tidak mahu menghormati yang lain. Maka pertumpahan darah akan berlaku.
Sambutan Hari Keharmonian Kaum merupakan peringatan dan sekaligus juga untuk merayakan kejayaan Singapura memupuk perpaduan dan keharmonian antara agama dan bangsa yang berbeza di Singapura.
Selalunya setiap sekolah akan membenarkan semua murid-muridnya memakai pakaian tradisional pada hari tersebut. Begitu juga sekolahku. Ini memberi peluang pada murid-murid untuk mengenali pakaian tradisional bangsa lain. Selain itu juga, mereka juga diberi peluang untuk memainkan permainan tradisional.
Pada tahun ini, murid-murid diajar membuat kraf tangan bangsa lain. Murid-murid darjah 1 dan 2 dikenalkan pada wau. Mereka telah mewarnakan wau. Murid darjah 3 dan 4 pula membuat guntingan kertas atau paper cutting huruf Cina. Murid darjah 5 dan 6 pula didedahkan pada cara membuat thoranam menggunakan reben. Thoranam adalah daun kelapa muda yang sudah dibentuk dan digantung semasa perayaan seperti Deepavali serta majlis perkahwinan.
Gambar thoranam.
Bukan murid yang belajar sesuatu yang baru. Aku juga turut mempelajari sesuatu yang baru. 'Life is definitely a learning journey'.
Sifat dermawan orang lain disalahgunakan. Inilah yang berlaku sekarang. Sekarang terdapat beberapa individu yang mengambil kesempatan atas orang lain untuk meraih keuntungan. Tidak cukup dengan taktik menipu mangsa-mangsa lemah seperti orang-orang tua. Sekarang mereka juga menggunakan nama badan-badan kebajikan untuk menipu. Sekarang aku nak derma pun jadi was-was. Apa tidak nya, derma pada individu yang meminta derma bagi pihak badan kebajikan kena tipu. Derma terus pada badan kebajikan pun kena tipu seperti NKF. Cuba bayangkan 1 orang derma $2. Kalau dah 100 orang kena kelentong, dah jadi $200! Ini yang boleh didapati individu. Tu belum lagi kes macam NKF. Dah berjuta-juta duit orang derma digunakan untuk naik kapal terbang '1st class'. Orang yang bagi derma ada yang belum rasa pun naik kapal terbang! Sungguh tidak adil. Ini belum lagi pesakit-pesakit yang hanya terima rawatan yang mungkin hanya '2nd class' kerana duit dana dikatakan tidak pernah mencukupi. Baru-baru ini kes Ren Ci juga seperti NKF. Kalau macam ni, macam mana orang nak derma? Aku dah tak percaya. Daripada aku derma pada badan kebajikan, aku rasa biarlah aku derma pada individu yang aku tahu benar-benar memerlukan duit.
************************************
KUMPUL DANA GUNA TIKET AMAL PALSU NAMA sebuah persatuan amal setempat yang menyediakan rumah tumpangan bagi golongan tua berpenyakit dan melarat sedang digunakan untuk mengumpul dana tanpa pengetahuan persatuan tersebut.
The Society for the Aged Sick menerima aduan tentang seorang wanita menjual tiket amalnya berharga $2 sekeping dari rumah ke rumah. Namun, persatuan itu tidak pernah memberi kebenaran kepada sesiapa memungut dana bagi pihaknya.
Lebih menghairankan, nombor telefon yang tertera pada tiket amal itu adalah nombor telefon sebuah lagi badan amal - Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (MKAC).
Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali, berkata persatuan itu pernah menjalankan kegiatan mengumpul dana dengan menjual tiket amal tetapi ia dihentikan November lalu selepas lesen syarikat yang dilantik persatuan itu untuk menjual tiket-tiket tersebut ditarik balik Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS).
Lesen itu ditarik balik kerana syarikat tersebut, EDS Management Services, didapati mendesak orang ramai untuk membeli tiket amal MKAC itu.
'Saya dapat tahu tentang perkara ini hanya apabila wartawan menghubungi saya. Ini satu penipuan dan kita mesti dedahkan supaya orang ramai tidak terpedaya,' kata Encik Encik Ameerali.
Bekas pengurus EDS, Encik Mohd Rafi Mohd Dali, berkata syarikat itu telah pun ditutup. Beliau mendakwa beberapa kakitangannya telah menghilangkan diri dengan tiket-tiket amal MKAC yang tidak terjual.
Encik Mohd Rafi berkata bahawa beliau percaya kumpulan penjual yang sama kini terlibat dalam penjualan tiket amal palsu itu.
Ketua kewangan The Society for the Aged Sick, Encik Wee Huan Chew, berkata pihaknya telah membuat laporan polis.
Orang ramai yang ingin mendapat kepastian tentang tiket amal yang dijual boleh mendapatkan maklumat menerusi laman web www.charities.gov.sg atau hubungi talian 6354-8543. Selain itu, semua pemungut dana berlesen diberi sijil rasmi lengkap dengan cap badan amal yang mereka wakili.
Bahasa Inggeris bahasa yang diutamakan di Singapura. Bahasa ibunda dijadikan bahasa kedua. Oleh kerana bahasa ibunda kita dijadikan bahasa kedua, ramai ibu bapa yang amat prihatin dengan kemahiran anak mereka berbahasa Inggeris. Pilihan yang mereka ambil merupakan menggunakan bahasa Inggeris di rumah dan mengurangkan atau mengelakkan penggunaan bahasa Melayu.
Apabila ia berlaku, maka anak-anak mereka mahir dalam hampir semua mata pelajaran kecuali bahasa Melayu. Situasi ini bukan hanya dilihat dalam masyarakat Melayu. Ia juga berlaku dalam masyarakat India dan Cina.
Aku pernah dengar keluhan rakan-rakan sekerja yang mengajar bahasa ibunda lain yang risau dengan kemahiran murid-murid mereka berbahasa ibunda. Aku juga turut menghadapinya.
Aku rasa ibu bapa yang menggunakan bahasa Inggeris di rumah boleh dibahagikan kepada 2 golongan. Golongan pertama adalah mereka yang anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris tetapi bukan Melayu. Golongan kedua pula adalah mereka yang mempunyai anak-anak yang tidak mahir dalam kedua-dua bahasa.
Anak-anak dari golongan pertama lebih mudah dibantu kerana mereka perlukan banyak alih bahasa sehinggakan struktur ayat bahasa Melayu mereka dipengaruhi struktur bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya mereka mungkin lulus dengan cemerlang dalam bahasa Inggeris dan tidak kurang dengan Matematik atau Sains kerana mereka memahami soalan-soalan yang kesemuanya dalam bahasa Inggeris.
Bagaimana pula keadaannya mereka yang tidak berjaya menguasai kedua-dua bahasa? Mengapa jadi begitu? Ini hanya pendapatku sahaja. Mungkin ibu bapa mereka menggunakan kedua-dua bahasa tetapi tidak menggunakan struktur bahasa yang betul. Anak-anak mereka hanya didedahkan pada bahasa Inggeris (lebih pada Singlish) dan bahasa Melayu rojak. Kedua-duanya dicampur aduk.
Oleh kerana tiada yang membetulkan penggunaan bahasa yang salah maka, kanak-kanak ini besar kemungkinan agak lemah dalam hampir kesemua mata pelajaran. Mereka mungkin memerlukan lebih banyak bantuan kerana mereka tidak mahir dalam kedua-dua bahasa.
Guru-guru pula yang diberikan kepercayaan untuk membantu mereka. Namun, aku turut rasa bahasa ibu bapa memainkan peranan yang lebih besar kerana kanak-kanak belajar daripada meniru. Bahasa yang digunakan ibu bapa turut digunakan mereka. Jika bahasa itu elok, maka eloklah anak-anak mereka berbahasa. Jika bahasa itu dipenuhi perkataan lucah dan maki hamun, itu juga yang akan keluar dari mulut anak-anak mereka.
Apa yang saya ingin katakan sebenarnya, kita juga sebagai ibu bapa harus sedar dan sentiasa membaiki penggunaan bahasa kita juga. Kemahiran anak-anak kita berbahasa bermula dari kita. Jika kita gunakan yang salah, anak-anak kita mengikutinya. Jika mereka gunakan yang salah, kita lah yang harus membaikinya.
Artikel di bawah ini mengingatkan aku bahawa bahasa Melayu akan hilang jika generasi akan datang tidak mahu menggunakan atau mempelajarinya. Kalau ia berlaku, kita juga yang rugi.
**********************************
'USAH BIAR ANAK PELAT BERBAHASA MELAYU'
APABILA Nenek ke majlis jemputan kahwin Ahad lalu, Nenek rasa begitu terhibur dengan persembahan yang diadakan.
Ada silat... ada tarian Melayu. Yang menariknya, semuanya dipersembahkan oleh kanak-kanak. Kanak-kanak itu pula, Nenek dapat tahu, adalah anak-anak buah emak dan bapak pengantin. Nenek cukup terhibur melihat telatah kanak-kanak itu membuat persembahan.
Tahniah kepada ibu bapa pengantin atau saudara-mara yang dapat mengumpulkan anak buah mereka itu dan melatih mereka dengan persembahan yang baik.
Ini, bagi Nenek, adalah satu cara yang bukan saja dapat merapatkan hubungan antara keluarga, malah secara tidak langsung menggalakkan lagi rasa cinta terhadap budaya Melayu.
Memang usaha menanam kecintaan terhadap budaya sendiri ini perlu dilakukan sejak kecil lagi kerana minat sedemikian akan membesar dengan subur dalam diri anak-anak kita.
Apatah lagi majlis kahwinnya diadakan dalam Bulan Bahasa 2008. Apa yang dilakukan oleh keluarga ini memang sangat baik. Tahniah.
Oleh kerana sudah timbulkan soal budaya dan bahasa ini, Nenek rasa sempena Bulan Bahasa ini, marilah kita sebagai datuk, nenek, ibu dan bapa serta guru-guru berusaha menggalakkan anak-anak kita termasuk yang masih setahun jagung tu, bertutur bahasa Melayu yang baik.
Nenek lihat ramai ibu bapa dan datuk nenek sekarang lebih selesa berbahasa Inggeris dengan cucu dan anak mereka sehinggakan si kecil tak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Ingatlah bahawa bahasa Melayu tu bahasa ibunda.
Malu kalau anak-anak tidak tahu berbahasa ibunda. Apabila anak-anak itu sudah bersekolah, kelam-kabut ibu bapa carikan anak-anak mereka tuisyen... bukan matematik atau bahasa Inggeris, tetapi tuisyen bahasa Melayu!
Seorang sahabat Nenek yang mempunyai tiga cucu ketika kami bersembang-sembang, bercerita bagaimana dua daripada tiga cucunya itu terlalu pelat apabila bertutur bahasa Melayu.
'Si Yani yang berumur lima tahun tu nak beritahu aku beg dia ada di bawah meja. 'Dia kata gini: Nek, meja bawah beg. Dia nak minta aku minuman, dia kata gini pula: Air mintak minum,' kata kawan Nenek tu sambil ketawa.
Hai... apa dah jadi? Ini bahaya... tak boleh dibiarkan. Ibu bapa dan datuk nenek perlu bertindak dari sekarang kerana dari rumahlah, mereka belajar bertutur yang betul agar tidak jadi Melayu pelat apabila dewasa nanti!
Aku turut menarik nafas lega apabila NTUC FairPrice mengurangkan harga beberapa jenama beras.
Langkah ini memang dinantikan orang ramai. Beras sebagai makan seharian tentu sekali ia menjadi keperluan asas. Walaupun perbezaannya agak sederhana, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan pembelanjaan harian keluargaku.
Aku cuba bayangkan sekiranya harga beras terus melonjak naik dan tidak dapat diturunkan semula. Apakah makanan alternatif bagi beras? Adakah mi? Mungkin roti? Atau mungkinkah kita akan sampai ke tahap makan ubi kayu?
*********************************************
ORANG ramai boleh menarik nafas lega sedikit ekoran langkah pasar raya NTUC FairPrice menurunkan harga beras lapan jenamanya sendiri mulai hari ini.
Di bawah langkah itu, yang sememangnya dinanti-nanti di tengahtengah harga barang dan makanan terus meningkat, harga beras lapan jenama itu dikurangkan antara 5 peratus dengan 12 peratus.
Harga beras gred lebih rendah dikurangkan paling banyak.
Dalam satu kenyataan semalam, koperatif pergerakan buruh itu menyatakan bahawa pengurangan itu dibuat menjelang ketibaan bekalan baru beras yang didapatkan dengan kos lebih rendah.
Selain pengurangan harga beras, pelanggan pasar raya itu dapat juga menikmati potongan harga 5 peratus yang sedang ditawarkan bagi beras jenama pasar raya itu sendiri.
Mengulas mengenai langkah mengurangkan harga beras itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NTUC FairPrice, Encik Tan Kian Chew, berkata:
'Kami telah memantau dari dekat harga beras bagi memastikan kami mendapat bekalan beras pada harga paling baik.
'Disebabkan strategi pembelian kami yang dibuat secara berhatihati, kami berhasil mendapatkan bekalan pada harga lebih rendah.
'Meskipun bekalan baru hanya akan tiba hujung bulan depan dan kami sedang menghabiskan stok beras yang telah dibeli pada harga lebih tinggi, NTUC FairPrice tetap memenuhi komitmennya menjadi pihak terakhir menaikkan harga dan yang pertama menurunkan harga.'